Input your search keywords and press Enter.

PERBEZAAN FAHAMAN SYIAH IMAMIYYAH DAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Sumber Infografik adalah daripada Facebook Page Hamba Allah

Polemik antara golongan Syiah dan ahli sunnah wal Jamaah(ASWJ) merupakan suatu isu yang telah lama dibahaskan oleh para ulama terdahulu dalam karya-karya ilmiah mereka. Sebagai kiasan, mazhab ASWJ yang dipegang oleh majoriti umat Islam diibaratkan seperti aliran sungai utama yang mempunyai cabang-cabang sungai kecil yang berbilang, manakala Syiah pula diibaratkan seperti  salah satu daripada aliran-aliran sungai kecil yang menyimpang daripada aliran utama tersebut.

Berkaitan isu Syiah ini, para ulama ASWJ telah pun menyediakan jawapan dalam menyingkapi golongan ini, khususnya Syiah Imamiyyah yang masih berpengaruh hingga kini. Dalam melihat polemik yang berlaku di antara golongan Syiah dan Sunni ini, dunia telahpun menyaksikan bagaimana berlakunya siri kemelut dan persengketaan yang berpanjangan di seluruh dunia khususnya di Pakistan dan Iraq

Beberapa usaha dan percubaan untuk mendamaikan atau mendekatkan antara dua golongan ini nampaknya masih tidak mendatangkan hasil yang memuaskan

Berdasarkan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 5 Mei 1996 yang lalu, ketika membincangkan isu Syiah di Malaysia, pihak jawatankuasa telah bersetuju memutuskan bahawa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24-25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] yang menetapkan “Hanya Mazhab Syiah dari golongan al-Zaidiyyah dan al-Ja`fariyyah yang diterima untuk diamalkan di Malaysia” dimansuhkan1. Berhubung isu ini, terbaru, ia telah dibincangkan dalam sidang parlimen pada 9 Mac 2011 di mana YB Senator Mejar Jeneral Dato‟ Jamil Khir b. Hj Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah melarang penyebaran ajaran Syiah di Malaysia tanpa turut menghalang pengamalan ajaran tersebut di Negara ini.

Ini bererti ajaran ini masih bebas untuk diamalkan di Malaysia oleh pengikutnya dan kesannya; adalah sukar untuk dijamin sejauh mana ia tidak disebarkan kepada pengikutnya, apatah lagi wujudnya suara-suara sumbang yang cuba mempertahankan hak golongan ini untuk menjalankan aktiviti mereka atas dasar hak asasi manusia. Setakat ini, terdapat sebanyak enam buah negeri yang telah mewartakan larangan terhadap penyebaran fahaman Syiah iaitu; Pulau Pinang, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka

Realitinya isu Syiah ini, khususnya Syiah Imamiyyah, merupakan suatu isu yang sebenarnya berakar umbi daripada permasalahan politik yang berlaku pada zaman Sayyidina Ali, yang akhirnya telah meresapi permasalahan dasar dalam agama iaitu akidah. Ia bukan hanya sekadar perbezaan dari aspek amalan seperti perbezaan yang berlaku antara mazhab yang empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafi`e dan Hanbali, namun lebih besar lagi, ia turut melibatkan soal iktikad yang jelas bertentangan dengan akidah sejati ASWJ. Nampaknya, Islam yang suci dan murni dengan ajarannya yang dipegang oleh majoriti ummah akan tercemar dengan kepercayaan dan perlakuan menyimpang tajaan golongan Syiah ini sekiranya isu ini dipandang ringan oleh masyarakat pada hari ini.   

Dalam kaitan ini, kesucian akidah warisan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. perlu dipertahankan daripada terus diselewengkan oleh golongan-golongan ahli bid`ah yang terkeluar daripada garis kasar aliran arus perdana ummah seluruh dunia. Tindakan mengeksploitasi kecintaan terhadap ahl al-bayt demi meraih kepentingan aliran mereka ini juga tidak sewajarnya diberikan laluan untuk membina tapak dalam jiwa umat Islam di Negara ini. Atas dasar ini, kertas  ini dikemukakan bagi menggariskan secara jelas perbezaan di antara fahaman Syiah Imamiyyah dan  fahaman ASWJ.

Leave a Reply