M Update, 01/03/2021 – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang dialami ketika ini dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.
Negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut susulan itu taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di Utara Semenanjung. Dalam tempoh ini, taburan hujan adalah agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara Semenanjung. Bagaimanapun, METMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini. – Ketua Pengarah MET Malaysia, Jailan Simon
Taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca agak panas, terutamanya pada waktu malam apabila terdapatnya litupan awan. Cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena biasa sepanjang tempoh Februari hingga April setiap tahun.
Sehingga kini, suhu tertinggi bagi bulan Februari adalah lebih rendah berbanding tahun lalu iaitu 36.2 darjah Celsius manakala pada 2020 adalah 37.4 darjah Celsius yang dicerap di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak. Keadaan cuaca agak panas yang dialami di kebanyakan kawasan negara dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula pertengahan April depan.
“Dalam keadaan cuaca panas, semua pihak dinasihatkan mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air. Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar dan minum air secukupnya,” katanya.
METMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara. Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia. – HM Online