M Update, 30/03/2021 – Kerajaan kekal dengan pendirian tidak mewajibkan pengambilan vaksin terhadap semua rakyat negara ini biarpun menyedari peratusan masih rendah bagi pendaftaran vaksin di beberapa negeri berbanding bilangan sebenar yang disasarkan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata sebaliknya, usaha menggalakkan pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan dilakukan secara berterusan selain dipergiatkan meliputi pembukaan kaunter pendaftaran di fasiliti kesihatan kerajaan.
“Vaksin bukan perkara baharu bagi kita dan seperti vaksin penyakit lain sebelum ini, pengambilannya tidak diwajibkan sebaliknya hanya disarankan. Ianya sama dan setakat ini belum ada usaha untuk mewajibkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“Apa yang kita lakukan ketika ini adalah bercakap (khususnya) dengan Pengarah (Kesihatan) Negeri supaya beri tumpuan terhadap negeri yang rendah peratusan pendaftaran vaksin terbabit. Kita nak tahu kenapa supaya mereka dapat dibantu menyelesaikan masalah berbangkit bagi tindakan. Antara usaha yang difikirkan setakat ini adalah mengadakan kaunter pendaftaran vaksin di semua fasiliti perkhidmatan kesihatan sesebuah negeri iaitu hospital kerajaan, klinik kesihatan, serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada November tahun lalu menyatakan kerajaan tidak bercadang mewajibkan pengambilan vaksin itu dan ia hanya akan diberikan kepada mereka yang bersetuju untuk mengambilnya secara sukarela terutama golongan berisiko.
Pendirian itu kemudiannya diulangi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada akhir bulan lalu iaitu beberapa hari sebelum bermula fasa pertama PICK pada 24 Februari lalu.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, masyarakat tidak perlu takut dengan kesan sampingan selain meragui kehalalan pengambilan vaksin memandangkan program imunisasi di Malaysia bukanlah suatu perkara baharu. – BH Online