Input your search keywords and press Enter.

Kuasa Allah, Kanak-kanak Terapung Di Laut Lebih 5 Jam Selamat

M Update, 29/03/2021 – “Tiada kata-kata yang mampu diluahkan melainkan bersyukur Allah selamatkan anak saya. Memang satu keajaiban kerana anak ditemui selamat walaupun tidak pandai berenang dan mampu terapung di tengah lautan lebih lima jam.

“Saya benar-benar berasa kerdil dengan kuasa Allah SWT kerana anak ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan,” kata Nik Nor Asyikin Nik Abdullah Sani, 36, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis, di sini, hari ini.

Nik Nor Asyikin, ibu kepada Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, yang ditemukan selamat pada jam 11 malam tadi pada jarak 300 meter selepas lebih lima jam terapung di laut di Pantai Kandis Pulau Kambing, di sini. Menurutnya, anak sulung daripada dua beradik itu kini mendapatkan rawatan di wad lelaki Hospital Tengku Anis. Katanya, anaknya mengalami masalah pembelajaran dan sangat suka kepada air serta sering mandi kolam angin di rumahnya.

“Anak saya pantang tengok air, namun pada musim ini saya tidak membawa anak mandi pantai kerana bimbang dengan keadaan ombak yang besar dan membahayakan nyawa. Namun, semalam saya berada di rumah ayah di Beris Lalang kerana ada kenduri perkahwinan anak saudara, manakala anak tinggal di rumah bersama ayahnya,” katanya.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas suami, Aman Syah Musa, 38, menghubungi memaklumkan anak lemas di pantai sebelum dia bergegas ke lokasi. Nik Nor Asyikin berkata, tidak dapat digambarkan perasaan selepas mengetahui anak hilang dan dia hanya mampu berdoa serta melakukan solat hajat supaya anaknya ditemui dalam apa jua keadaan. Katanya, dia juga membawa kain batik ke lokasi kejadian untuk menutup jasad anaknya jika ditemui lemas.

Namun, saya bersyukur kerana anak ditemui selamat, tetapi sedih kerana jiran, Mohd Bahudin Mat Shah dan Juhairohafizan Juhari yang mahu membantu menyelamatkan anak ditemukan lemas.

“Saya turut memaklumkan kepada anak bahawa jiran kami yang juga ayah rakannya lemas. Anak juga tahu seorang lagi lelaki yang tidak dikenali dan cuba membantunya turut lemas. Dia nampak sedih apabila mengetahui kejadian yang berlaku. Ketika terapung di permukaan air, anak memberitahu dia bagai berada di kayangan dan turut melihat cahaya lampu yang terang. Anak juga kata hanya hidungnya berasa pedih kemungkinan dimasuki air laut dan hanya teringat saya dan ayahnya sahaja,” katanya yang berterima kasih kepada semua yang berusaha mencari dan menyelamat anaknya.

Menurutnya, anaknya itu sangat rapat dengan Allahyarham Mohd Bahudin, 46, yang sering membawanya keluar berjalan-jalan memandangkan jirannya itu turut mempunyai anak yang mengalami masalah pembelajaran. Dalam kejadian jam kira-kira 5 petang semalam, Mohd Bahudin dan Juhairohafizan, 35, yang juga pesara tentera dilaporkan lemas dalam cubaan mereka menyelamatkan Muhammad Aman Firas. Mayat Mohd Bahudin ditemukan jam 6.50 petang, manakala Juhairohafizan jam 2.50 pagi tadi. – BH Online