M Update, 20/04/2021 – Selebriti media sosial dan suaminya masing-masing dipenjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu.
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu selepas Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, dan Azharique Shah Abdul Jalil, 23, mengaku bersalah terhadap tuduhan. Wong berkata, perbuatan tertuduh memberi contoh buruk kepada masyarakat yang mana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dibenarkan rentas negeri.
“Tempahan tempat penginapan tidak dapat dibatalkan dan wang tidak dikembali bukan satu alasan untuk merentas negeri,” katanya.
Pasangan itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Wangsa Maju di sini, pada 2 petang, 15 Mac lalu ketika memohon kebenaran rentas negeri bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk ke Johor. Kedua-duanya didakwa memberi maklumat palsu secara bertulis kepada Ketua Balai Polis Asisten Superintendan Fairul Nizam Anuar dan didakwa mengikut Seksyen 22(D) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Sabit kesalahan mereka boleh dipenjarakan hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, Wan Ahmad Hakimi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan dilakukan memberi kesan kepada masyarakat
“Seperti dilihat dalam ‘instastory’ (muat naik gambar dalam Instagram) ada kata pujuk polis untuk rentas negeri, ini memberi kesan kepada orang lain. Sepatutnya kebenaran rentas negeri bukan untuk tujuan lain (tidak disalah guna) tambahan kita lihat kes Covid-19 meningkat setiap hari. Dengan hukuman penjara, kita harap orang kena tuduh (OKT) dan individu lain tidak mengulangi perkara sama,” katanya.
Iram Naz merayu memohon mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara, mengambil kira dia wakil tunggal yang menyara keluarga dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama.
“Kami membuat tempahan hotel pada 26 Disember lalu ketika rentas negeri dibenarkan untuk menyambut ulang tahun perkahwinan namun ditunda beberapa kali. Kami cuba membatalkannya, namun pihak terbabit tidak mahu kembalikan wang tempahan penginapan menyebabkan kami meneruskan hasrat (dengan) merentas negeri pada 17 Mac lalu,” katanya.
Sementara itu, Azharique Shah mengaku mengambil ringan perkara terbabit ketika mengisi borang rentas negeri termasuk memberi alamat lain ketika ke sana. – HM Online