M Update, 28/06/2021 – Kerajaan Sabah membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi beroperasi semula sepanjang dua minggu lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula esok.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, dalam kenyataannya hari ini berkata, ia termasuk makan di restoran, kedai makan dan restoran hotel, pembukaan gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan serta kedai gunting rambut.
“Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal juga dibenarkan. Bagi aktiviti pembuatan dan perkilangan pula, ia akan diperluaskan kepada industri getah, simen dan cat; kilang berasaskan kayu dan perabot,” katanya.
Semua aktiviti terbabit tidak dibenarkan sepanjang empat minggu pertama PKP 3.0 yang bermula 1 Jun lalu. Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri masih mengekalkan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 yang dikuatkuasakan sejak 1 Jun lalu berikutan pengekalan PKP Fasa 1 selama dua minggu lagi. Katanya, perincian SOP terbaharu bagi negeri Sabah akan dikeluarkan dalam masa terdekat.