Input your search keywords and press Enter.

3 Empangan Hidroelektrik TNB Sedia Hadapi Musim Tengkujuh

Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan persiapan awal menghadapi musim tengkujuh di tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Perak dengan mengurangkan paras air di tiga empangan skim hidroelektrik miliknya bagi menampung peningkatan kapasiti air.

Ketiga-tiga empangan TNB di Tasik Kenyir, Cameron Highlands dan Sungai Perak kini bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat – Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti

Proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik TNB dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

Empangan hidroelektrik TNB bukan saja untuk menjana elektrik, malah berfungsi sebagai tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar ketika musim tengkujuh.

Kapasiti empangan TNB menakung air di huluan dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir sungai setiap kali musim tengkujuh.

Air yang ditakung akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam sungai, seterusnya membantu mengawal banjir di hilir empangan TNB.

TNB turut mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan koordinasi kecemasan di stesen hidroelektrik bagi meningkatkan kecekapan semua pihak berkenaan bertindak pada musim banjir.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika premis mereka dinaiki air.

Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline.

Sumber : Bernama