Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini telah berkenan mengurniakan Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada jaguh dan legenda skuasy negara Datuk Nicol Ann David.
Nicol, 38, adalah antara 12 penerima PJN pada sesi kedua istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong berlangsung di Istana Negara hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Isitiadat itu berlangsung dalam keadaan norma baharu susulan wabak COVID-19 dengan tetamu yang hadir perlu memakai pelitup muka, disaring suhu badan dan mengimbas kod QR MySejahtera di balai keselamatan Istana Negara.
Para petugas di Istana Negara turut memakai pelitup muka dan kerusi di Balairong Seri disusun berdasarkan penjarakan fizikal seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Sumber : Bernama