M Update, 08/03/2022 – Tindakan dua anggota Polis Trafik menahan pergerakan sebuah ambulans di bandar raya Johor Bharu pada Sabtu lalu, bukan bertujuan memberi keutamaan laluan kepada konvoi kenamaan (VVIP), sebaliknya dibuat bagi mengelak pertembungan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, kejadian berlaku ketika dua anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) JBU) itu sedang menjalankan penugasan kawalan lalu lintas sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di Plaza Angsana Johor Bahru.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika anggota terbabit ditugaskan membuat ‘cut off/point duty’ di persempadanan daerah Johor Bahru Selatan dan JBU di Jalan Danga Bay menghala ke Skudai, pada waktu kejadian.
“Ketika itu, ambulans yang datang dari arah susur Jalan Danga Bay tetap diberikan keutamaan laluan di mana anggota bertugas memberikan ruang laluan antara kenderaan lain untuk maju ke hadapan. Anggota yang bertugas juga telah membuat penilaian dari setiap sudut keselamatan, di mana pada masa yang sama konvoi itu sudah melalui jalan utama dan berada 100 meter di hadapan lebih awal untuk ke lokasi.
“Sekiranya diberikan laluan hijau kepada ambulans yang datang dari susur jalan tersebut, ia akan memberi risiko yang besar kepada konvoi dan ambulan terbabit. Malah dikhuatiri akan bertembung di antara jalan utama dan jalan keluar dari susur jalan Danga Bay.
Setelah konvoi itu berlepas, anggota bertugas memberi laluan hijau kepada ambulans meneruskan perjalanan. Durasi video menunjukkan penahanan ambulans oleh anggota itusangat minimum iaitu sekitar 30 saat,” katanya dalam satu kenyataan.
Rupiah menjelaskan, tindakan drastik dan strategik sudah diambil anggota bertugas, setelah membuat penilaian dari setiap sudut keselamatan kerana ia membabitkan beberapa faktor. Antaranya, jalan utama laluan konvoi adalah menurun bukit dan laluan ambulans adalah dari jalan susur.
Malah konvoi itu sudah melepasi laluan lebih awal dari ambulans dan penahanan ambulans berdurasi 30 saat sahaja adalah bagi mengelakkan risiko pertembungan antara konvoi dan ambulans tersebut. Susulan itu, satu laporan polis dibuat berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan komen dan maklumat yang tidak benar serta tidak bertanggungjawab melalui kaedah tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Video berdurasi 46 saat yang tular itu memaparkan dua anggota Polis Trafik menahan sebuah ambulans dipercayai dalam perjalanan membawa pesakit ke hospital. Dalam perkongsian video itu, anggota Polis Trafik itu dilihat menahan ambulans berkenaan bagi memberi laluan kepada konvoi VVIP.
Paparan video itu mengundang kecaman warga maya terhadap anggota polis yang didakwa mengutamakan kepentingan VVIP, berbanding nyawa pesakit yang sedang dibawa oleh ambulans terbabit. – BH