Input your search keywords and press Enter.

Membanggakan! 5 Pelajar Malaysia Diterima Masuk Ke Harvard

M Update, 05/04/2022 – Malaysia mencatat sejarah apabila lima pelajar bakal melanjutkan pengajian dalam program sarjana muda di Universiti Harvard, Amerika Syarikat bagi sesi 2026 iaitu rekod tertinggi bagi kemasukan ke universiti berprestij dunia itu.

Lima pelajar berkenaan adalah dua pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat A-Level iaitu Chooi Je Qin dan Herman Leong Xin Yang, Ishant Shah yang sedang mengikuti pengajian martrikulasi di Kolej Sunway.

Dua lagi pelajar yang turut tersenarai adalah anak kelahiran Sabah, Carisma Michaela Wong yang sedang mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM dan pelajar dari Kuala Lumpur, Lee Ee Jenn.

Kelima-lima pelajar itu akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang antaranya biokimia, ekonomi, politik dan sosiologi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Alumni Penemuduga Kolej Harvard Untuk Malaysia, pencapaian itu amat membanggakan kerana sebelum ini, maksimum hanya dua pelajar dari Malaysia yang diterima masuk ke universiti berkenaan.

“Kami sangat teruja kerana lima pelajar Malaysia ini memecahkan rekod dan diterima masuk ke Harvard dalam tahun yang sama. Sebelum ini, sekurang-kurangnya ada dua pelajar (Malaysia diterima masuk setiap tahun dan adakalanya tiada,” kata seorang penemuduga, Wan Nadiah Wan Mohd Abdullah Yaakob.

Wan Nadiah berkata, apa yang amat menarik perhatiannya adalah kepelbagaian kualiti yang ditonjolkan oleh setiap daripada pelajar berkenaan.

“Sebagai contoh, Je Qin terbabit dalam dalam kejohanan antarabangsa astrofizik dan astronomi, Ishant pula adalah pemain skuasy negara yang banyak menghabiskan masa dengan aktiviti komuniti.

“Kami juga mendapati Herman mengalami daya intelektual yang tinggi dalam bidang biologi, sementara Karisma yang bermula dengan minatnya menyanyikan lagu Kadazan banyak melakukan kajian mengenai sejarah negeri Sabah,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Thomson, Damansara.

Beliau berkata, mereka dipilih daripada 61,220 permohonan dengan kadar pengambilan pelajar bagi kelas 2026 adalah yang paling rendah dalam sejarah Harvard iaitu 3.19 peratus.

Wan Nadiah turut berkata, pengajian di kolej berprestij itu juga tidak membebankan dengan pelajar daripada keluarga dengan pendapatan di antara AS$75,000 (RM316,447)dan AS$150,000 (RM632,895) setahun hanya perlu membayar yuran pada kadar kosong hingga 10 peratus mengikut pendapatan tahunan.

“Malaysia mempunyai bakat yang sangat mengagumkan untuk ditonjolkan dan berikutan kewangan bukan halangan untuk mereka mengikuti pengajian di Harvard, kami menggalakkan lebih ramai remaja memohon untuk memasuki institusi ini,” katanya. – BH