Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Tidak Akan Bankrap, Hutang Masih Terkawal

M Update, 15/07/2022 – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa kedudukan fiskal negara ketika ini masih kukuh dan hutang kerajaan berada di tahap terkawal, sekali gus menafikan laporan yang mendakwa Malaysia berdepan risiko untuk muflis.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata MOF ingin menekankan bahawa aspek penting dalam pengurusan hutang adalah  kemampuan keberhutangan dan kemampanan hutang.

Beliau menjelaskan, hutang kerajaan jelas masih terkawal berdasarkan beberapa faktor antaranya walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini, kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah serta hutang yang matang. 

“Ini membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik. Pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Antara undang-undang sedia ada adalah Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang berbanding perbelanjaan operasi yang lain.

Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir tidak boleh melebihi RM35 bilion dengan data pada akhir Jun 2022 menunjukkan hutang ini berjumlah RM29.4 bilion.

Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 pula menetapkan bahawa had statutori hutang kerajaan tidak boleh  melebihi 65 peratus daripada KDNK.

Pada akhir Jun 2022, hutang statutori mencatat 60.4 peratus daripada KDNK.

Tengku Zafrul berkata, 97 peratus daripada jumlah hutang kerajaan adalah dalam denominasi ringgit. Beliau berkata, ini mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing adalah minimum. Paras hutang yang tinggi, katanya tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan. 

“Pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus yang utuh dan kedudukan luaran yang baik serta kekukuhan ekonominya.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus. Baru-baru ini, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, berdasarkan faktor-faktor itu, MOF juga ingin menyangkal dakwaan beberapa  pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini. 

Beliau berkata, selain itu, MOF juga telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia. – Berita Harian