M Update, 15/02/2023 – Menjelang Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meluaskan konsep Payung Rahmah yang sedang dilaksanakan menerusi inisiatif ‘Menu Rahmah’ ketika ini kepada kelengkapan Aidilfitri.
Menerusi inisiatif ‘Raya Rahmah’, golongan kurang berkemampuan berpeluang mendapatkan kelengkapan perayaan seperti perhiasan rumah, baju raya dan barangan lain dengan harga sangat berkemampuan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif terbaru ini akan membabitkan beberapa syarikat yang akan diumumkan minggu hadapan.
“Buat masa sekarang, kita masih dalam peringkat rundingan kerana pihak berkenaan juga turut meminta tempoh untuk perbincangan.
“Kita jangka minggu hadapan, mereka akan dipanggil semula untuk menyatakan secara spesifik bentuk tawaran bagi konsep Raya Rahmah ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran ‘Menu Rahmah’ di sebuah restoran di Jalan Pulai Indah, di sini, hari ini.
Sumber: Harian Metro