M Update, 15/02/2023 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar satu lagi penempatan haram warga asing yang berselindung di dalam hutan di daerah ini yang dipercayai wujud sejak lapan tahun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya membuat serbuan dengan kekuatan 321 pegawai Imigresen dan 55 pegawai serta anggota dari agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, serbuan kira-kira 12 tengah malam tadi itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sebelum melakukan risikan di lokasi terbabit tiga minggu lalu.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 26 lelaki dan 29 wanita berusia antara 16 hingga 70 tahun warga Indonesia yang mendiami kediaman di kawasan itu.
“Dianggarkan antara 30 hingga 30 warga asing berjaya melarikan diri ke belukar dan jauh ke dalam hutan ini dan kami memutuskan untuk tidak mengejar mereka atas faktor keselamatan serta keadaan gelap,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, awal pagi tadi.
Khairul Dzaimee berkata, hasil soal siasat awal terhadap warga asing yang ditahan mendapati kebanyakan mereka masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.
“Ada antara mereka bekerja di kawasan berhampiran sebagai pencuci. Malah, saya juga dimaklumkan bahawa ada antara wanita yang tinggal di sini menjalankan perniagaan menjual kuih, nasi lemak, goreng pisang di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.
“Makanan itu dihasilkan dalam keadaan kotor dengan mereka tidak menerima suntikan (typhoid) seperti yang dikehendaki Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Beliau berkata, penempatan itu sukar dikesan kerana ia terletak kira-kira tiga hingga empat kilometer (km) dari jalan utama dengan rumah dibina di celah pokok di tepi belukar di dalam hutan berkenaan.
“Dari segi bekalan elektrik, penempatan ini menggunakan generator, manakala bekalan air pula diperolehi dari perigi pada kedalaman antara tiga hingga lima meter yang dibuat sendiri oleh mereka dengan keadaan tandas serta perparitan yang daif. Penempatan itu juga mempunyai kemudahan lain termasuk kedai runcit, surau yang boleh menempatkan antara 30 hingga 40 jemaah dan kedai kopi,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan warga asing yang tinggal di penempatan itu dikenakan sewa RM500 setiap bulan bagi setiap rumah dengan bayaran dikutip oleh ketua sebelum diserahkan kepada pihak tertentu.
Kami akan mengenal pasti pemilik tanah ini bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil atas kesalahan melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati). Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – Harian Metro