Input your search keywords and press Enter.

Kanak-Kanak Akan Dikeluarkan Dari Depoh Tahanan Imigresen

M Update, 16.02/2023 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan kanak-kanak yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen dalam masa terdekat, dan menyerahkan mereka kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang khusus menjaga kebajikan kumpulan berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata buat masa ini, beliau sudah mengenal pasti profil kumpulan kanak-kanak tersebut, bilangannya dan di mana mereka ditahan.

“Dalam masa terdekat, saya akan keluarkan mereka. Saya sedang berurusan dengan NGO yang khusus dalam penjagaan dan kebajikan kanak-kanak (untuk mengeluarkan mereka),” katanya.

Mengulas mengenai seorang kanak-kanak warganegara Bangladesh yang ditemukan dalam kontena di dermaga Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang 17 Jan lepas, beliau berkata pihaknya akan menghantar kanak-kanak itu pulang ke negaranya minggu hadapan.

Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai terkunci selama enam hari di dalam kontena tersebut yang berasal dari Chittagong, Bangladesh itu, telah diberi rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah dan kini di bawah jagaan pihak NGO.

“KDN sudah berjaya mengesan keluarganya dan saya sudah memaklumkan kepada rakan sejawat saya di Bangladesh, yang akan menghantarnya pulang. Segala urusan dokumentasi dengan kedutaan juga telah diuruskan,” katanya.

Menyentuh mengenai kedudukan Malaysia di ‘Tier 3’ dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2021, Saifuddin Nasution berkata beliau telah berhubung dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, bagi memaklumkan inisiatif diambil negara dalam usaha membanteras isu berkenaan.

“Tadi ada ‘engagement’ dengan Duta AS dan saya berpeluang memaklumkan inisiatif yang Malaysia ambil, dan lihat amalan baik di beberapa negara… sebab ia membabitkan beberapa elemen yang sangat jelas iaitu tangkapan, siasatan dan pendakwaan.

“Jadi kesungguhan kita dalam membanteras pemerdagangan manusia, diukur menerusi tiga komponen ini. Kita berikan perhatian berat kepada perkara ini, sebab memang kedudukan tersebut beri banyak kekurangan kepada negara, terutamanya sekatan terhadap produk keluaran negara,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata baru-baru ini, Sime Darby Plantation yang sebelum ini dikenakan tindakan sekatan produk minyak sawit di AS atas dakwaan menggunakan buruh paksa, telah diberikan status bebas dan sehingga kini dua lagi syarikat negara ini berdepan tindakan sama oleh AS.- BERNAMA