M Update, 28/08/2023 – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah supaya lebih banyak masa diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan ekonomi negara.
Memetik laporan media Sin Chew Daily, Sultan Ibrahim bertitah, ia berikutan masalah krisis kewangan yang didepani oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar ketika ini amat mencabar.
“Anwar hanya menyedari kesulitan kewangan kerajaan selepas memegang jawatan. Saya percaya beliau memerlukan lebih banyak masa,” titah baginda pada Sabtu.
Selain itu, baginda turut melahirkan rasa lega kerana lawatan rasmi Anwar ke China pada awal tahun ini berjaya membawa kembali banyak hasil positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Delegasi lawatan yang bermula pada 29 Mac hingga 1 April itu menyaksikan Malaysia memperoleh komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion dari China. – Sinar Harian