Input your search keywords and press Enter.

Jangan Cuba Ganggu, Campur Tangan Urusan Islam Di Negara Ini – MAPIM

M Update, 25/08/2023 – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyelar tindakan Majlis Perundingan Agama Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang menolak pengajian penghayatan hadis 40 Imam Nawawi di sekolah dan mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid pertubuhan itu tidak berhak mempersoalkan usaha Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memupuk ilmu dan nilai Islam yang betul kepada pelajar beragama Islam dengan merujuk kepada al-Quran dan hadis.

Beliau berkata, kenyataan MCCBCHST bahawa Islam harus terbatas hanya kepada urusan peribadi dan majlis rasmi yang bersifat “ceremonial” semata-mata, jelas menunjukkan cuba campur tangan dalam hal ehwal dan pengajian Islam.

“Kami ingin mengingatkan kepada pihak berkenaan jangan cuba mengganggu dan campur tangan dalam urusan Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, MCCBCHST menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

MCCBCHST berkata, bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

Kumpulan itu berkata, kerajaan dan menteri pendidikan mesti berpandukan perlembagaan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, pendidikan Islam yang berteraskan pengajian al-Quran dan hadis sebati dalam pendidikan Islam untuk melahirkan pelajar Muslim berakhlaq mulia dan insan berintegriti.

Katanya, ugutan pihak berkenaan mahu mengambil tindakan undang-undang jika penggunaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dijadikan pengajian untuk pelajar Islam adalah provokasi yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang kerana MCCBHST cuba mencabar kuasa pihak agama Islam apabila menuntut Islam hanya agama terikat sebagai ritual dan untuk acara rasmi semata-mata.

“Mereka mencabar pihak berkuasa pendidikan negara yang mahu menerapkan rujukan Islam dalam sistem pendidikan. Bantahan itu nampaknya sangat jelas mahu mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, MAPIM menuntut MCCBHST menarik balik kenyataannya dan menghentikan sebarang kempen senyap untuk mempersoalkan kedudukan Islam di negara ini. – Buletin TV3