Input your search keywords and press Enter.

Kenaikan Gaji: ‘Jangan Ada Kenaikan Harga Barang Tidak Munasabah’ – Zahid

M Update, 22/08/2024 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak mahu melihat kenaikan harga barang secara tidak munasabah berlaku susulan pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan mahu mengekang peningkatan inflasi.

“Tentunya dalam keadaan begitu kita harus imbangkan permintaan dan penawaran dalam tenaga kerja, perkhidmatan dan barangan hari ini.

“Sebab itu saya fikir Perhimpunan Agung UMNO 2024 mesti melihat bukan hanya sekadar desakan, tetapi bagaimana kita dapat menyumbang saran untuk memperkukuh ekonomi dan menstruktur semula masyarakat,” katanya.

eliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Laman Media yang menempatkan kira-kira 500 petugas media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang berlangsung tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut melihat peranan menteri dan timbalan menteri daripada UMNO sebagai penting dalam sistem penyampaian, terutama bagi memperkukuh Kerajaan MADANI menerusi kementerian masing-masing.

Menyentuh mengenai subsidi, Ahmad Zahid berkata kerajaan membelanjakan jumlah yang besar untuk pemberian subsidi dan pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan hanya mereka yang layak mendapat manfaat. – Bernama