Input your search keywords and press Enter.

Kerana Duit Sanggup Buat Kerja HARAM!

M Update, 28/11/2019 – Tawaran gaji lumayan mencecah RM5,000 sebulan menyebabkan seorang lelaki warga China sanggup datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pengendali laman sesawang judi.

Lelaki berusia 21 tahun mendakwa berasal dari Guangzhou, China terbabit memaklumkan dia datang ke negara ini sejak dua minggu lalu.

“Saya nampak iklan tawaran kerja melalui media sosial lalu berhubung dengan ejen untuk bekerja sebagai pengendali laman sesawang judi dalam talian di Malaysia.

“Sebaik sampai, saya terus diarahkan bekerja dan tidak sempat menerima gaji memandangkan baru bekerja dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Lelaki itu antara 20 individu warga China termasuk seorang wanita yang ditahan dalam serbuan di sebuah bangunan pejabat di Balakong di sini, yang dijadikan pusat judi dalam talian, semalam.

Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, serbuan kira-kira jam 2 petang itu dilakukan sepasukan lima pegawai dan 20 anggota.

“Dalam serbuan ini, kami menahan 20 individu warga China berusia 20-an hingga 30-an yang bekerja sebagai pengendali laman sesawang judi dalam talian.

“Kami turut merampas 22 komputer riba, 64 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM6,990 dalam serbuan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini.

Azmi berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak dua minggu lalu dengan menyasarkan pelanggan dari China melalui promosi dilakukan menerusi aplikasi WeChat.

“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan bangunan pejabat baharu sebagai pusat operasi bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan awal juga mendapati premis yang dijadikan sebagai pusat operasi itu disewa pada kadar RM10,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, pengendali pusat judi itu ditawarkan gaji antara RM4,500 hingga RM5,000 sebulan selain komisyen yang bergantung kepada jumlah pertaruhan dan pelanggan.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati semua suspek ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Kami syak dokumen itu dipegang oleh ejen mereka.

“Hasil soal siasat mendapati semua suspek bekerja selama 12 jam setiap hari bermula jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dan mereka tinggal di sebuah unit kondominium berhampiran.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen Seksyen 4(1)(C) dan Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Leave a Reply