Input your search keywords and press Enter.

Bekas Pelumba Motosikal Negara Maut Akibat Ditetak

M Update, 12/09/2024 – Polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar Elias, 40 awal pagi semalam adalah disebabkan kecederaan parah akibat ditetak selepas terbabit dengan pergaduhan di Kangar.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar antara jam 9 hingga 10 malam pada Selasa lalu, apabila mangsa dipercayai pergi ke rumah seorang lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Dato Ali, Kangar.

Pihak polis menerima maklumat sekitar jam 11.13 malam yang memaklumkan berlakunya kejadian pergaduhan di taman perumahan berkenaan. Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah pun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan.

Namun, mangsa (Elly Idzlianizar) bagaimanapun meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah malam semalam akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam.

Susulan daripada itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu di beberapa lokasi berasingan di sekitar Kangar.

Menurut pihak polis lagi, siasatan lanjut yang dibuat mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan dimana satu kesa tetakan di bahagian tangan kanan, tiga di bahagian tangan kiri dan tujuh hingga lapan kesan tetakan di bahagian belakang badan mangsa.

Malah, keputusan bedah siasat yang dibuat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar juga mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk termasuklah saluran darah di bahagian tangan mangsa cedera parah sehingga menyebabkan kematian.

Siasatan awal polis mendapati kejadian bermula apabila mangsa yang berada dalam keadaan marah cuba mencari suspek utama berusia 51 tahun di kediamanannya di taman perumahan itu. Namun suspek bagaimanapun tiada di rumah.

Mangsa beredar namun terserempak dengan suspek di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan itu dan tercetuslah pergaduhan dan pergelutan yang disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek pertama yang berusia 31 tahun.

Difahamkan mangsa dan suspek saling mengenali dan sering berurusan antara mereka mengenai perkara yang tidaklah sehingga membawa kepada pergaduan seperti semalam namun setakat ini, motif dan penyebab berlakunya pergaduhan masih disiasat.

Semua suspek terlibat mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan beberapa kesalahan jenayah lain. semua suspek terlibat ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 17 September ini bagi membantu siasatan.

Elly sebelum ini terkenal dalam kalangan peminat sukan permotoran tempatan kerana mula mencipta nama di arena perlumbaan tempatan Cub Prix dan menjuarai pelbagai perlumbaan bersama pengeluar Yamaha, Honda dan Suzuki.

Kes disiasat di bawah 302 Kanun Keseksaan dan kita mohon kerjasama masyarakat yang mengetahui maklumat kes ini agar dapat tampil bagi membantu siasatan. Polis juga memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi berkaitan kejadian.