Input your search keywords and press Enter.

Akibat Hutang, Wanita Nekad Bunuh Jiran

M Update, 10/03/2021 – Seorang wanita tergamak membunuh jirannya sebelum mayatnya disorok di bawah katil dalam kediamannya di tingkat dua sebuah blok pangsapuri di Persiaran Subang Mewah, USJ 1 di sini.

Perkara itu terbongkar, petang semalam sebaik polis menjalankan siasatan berhubung kes seorang peniaga kuih warga Indonesia yang dilaporkan hilang oleh suaminya sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya,Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata suami mangsa, warga tempatan berusia 47 tahun pada mulanya pulang ke rumah kira-kira jam 7 malam dan mendapati pintu hadapan tidak berkunci.

“Dia mendapati isterinya yang berusia 54 tahun tiada namun barangan peribadi termasuk telefon bimbitnya masih ada di dalam rumah. Selepas gagal mencari isterinya, lelaki itu membuat laporan polis di Balai Polis UJS 8 pada jam 12.01 tengah malam (semalam),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, malam tadi.

Abd Khalid berkata, kali terakhir lelaki itu bertemu dan berhubung dengan isterinya kira-kira jam 1.20 petang dan jam 3.45 petang, kelmarin. Semasa diambil keterangan, suami mangsa mengesyaki kehilangan isterinya ada kaitan dengan jiran mereka yang rumahnya terletak hanya kira-kira 10 meter.

Ini kerana dia ada mendengar cerita mengatakan jirannya (suspek) menggadaikan barang kemas tidak lama selepas isterinya hilang dan mengetahui wanita berkenaan ada masalah kewangan serta hutang,” katanya.

Susulan itu, katanya, wanita berusia 39 itu dipanggil ke Balai Polis USJ 8 pada jam 3 petang, semalam untuk disoal siasat dan selepas hampir tiga jam, dia akhirnya mengaku membunuh mangsa di kediamannya.

Kira-kira jam 8 malam tadi, suspek dibawa ke rumahnya oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dan menunjukkan mayat mangsa yang diselubung dengan selimut disorok di bawah katil. Suspek dikatakan menelefon mangsa memintanya datang ke rumah dengan alasan tangannya cedera dan membantu menjaga dua anaknya yang berusia setahun dan tiga bulan, kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Suspek mendakwa dia menghentak belakang badan mangsa dengan tangan sehingga terjatuh sebelum menghentak kepala mangsa ke lantai,” katanya yang turut memaklumkan suspek bekerja sebagai pembuat kuih di gerai mangsa. Menurutnya, motif pembunuhan ini dipercayai berpunca masalah kewangan dihadapi suspek dan terdesak membayar hutang berjumlah kira-kira RM5,000.

Mangsa memakai banyak barang kemas dan mungkin ia mendorong suspek membunuh mangsa bagi mendapatkan barang kemas terbabit dan menggadainya untuk melangsaikan hutang. Buat masa ini, kita masih mengesan barang kemas terdiri daripada rantai leher dan gelang yang dikatakan sudah digadai suspek dan tidak dapat pastikan jumlahnya,” katanya.

Abd Khalid berkata, ketika kejadian suami suspek, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan bekerja sebagai kru produksi tiada di rumah namun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam pagi ini, untuk permohonan reman. – BH Online