Input your search keywords and press Enter.

Majlis Raja-Raja Tentukan Keputusan Doktrin GISB

Antara bahan rampasan yang berkaitan GISB Holdings (GISBH) di Kampung Panji, Kota Bharu

M Update, 24/09/2024 – Keputusan berkaitan doktrin fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) hanya akan diketahui selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebelum keputusan itu diperkenankan, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan Datuk Dr Nooh Gadot serta semua mufti negeri akan bermesyuarat bagi membincangkan mengenai GISBH selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 September ini.

Katanya, keputusan perbincangan itu kemudian akan dibentangkan kepada Pengerusi MKI, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan timbalannya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja.

Semalam Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilaporkan berkata bahan rampasan dalam Op Global Fasa 4 akan dijadikan asas bukti sokongan terhadap pegangan akidah pengikut kumpulan GISBH.

Susulan itu, keputusan Muzakarah MKI mengenai status doktrin diperjuangkan GISBH akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan ini dibawa ke Mahkamah Syariah.