Input your search keywords and press Enter.

Selesaikan Saman Tertunggak, Tiada Senarai Hitam Baru Mohon Lesen B Penuh

Foto: Bernama

M Update, 04/10/2024 – Orang ramai yang mahu menyertai Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B Penuh, dinasihat menyelesaikan semua saman tertunggak dan memastikan nama tidak disenarai hitam.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata saman tertunggak yang perlu dijelaskan merangkumi saman JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, walaupun syarat untuk mendapatkan lesen B penuh sudah diberi beberapa kelonggaran, pemohon masih perlu memenuhi beberapa syarat ditetapkan, antaranya tiada saman tertunggak.

“Orang awam perlu menyemak kelayakan itu menerusi aplikasi MyJPJ, kaunter JPJ atau portal JPJ. Jika status tidak layak walaupun syarat lesen B1 atau B2 dipenuhi, pemohon perlu semak semula saman tertunggak, JPJ atau PDRM.

“Semua saman tertunggak perlu diselesaikan dahulu, barulah sistem itu automatik kesan dan tukar status kepada layak,” katanya pada sidang media Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Batu 5, Jalan Bangi Lama, di sini hari ini.

Katanya, selaras pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke supaya kelonggaran syarat dapat diberikan, JPJ melaksanakan tindakan pembaharuan, iaitu tiada lagi syarat minimum 10 tahun berterusan yang ditetapkan sebelum ini.

“Syarat itu sudah dimansuhkan serta-merta. Pemegang lesen B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas, tiada saman tertunggak layak mohon peralihan kepada lesen B penuh,” katanya.

Syarat itu adalah warganegara Malaysia, miliki lesen memandu kompetan (CDL) Kelas B2/B1 sah dan berkuat kuasa berterusan serta bebas senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, disabitkan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333. – BH