Input your search keywords and press Enter.

Banjir : Mangsa Banjir Di Pahang Melebihi 10,000 Orang

M Update, 04/01/2021 – Jumlah mangsa banjir di seluruh Pahang kini melebihi 10,000 orang menjelang tengah hari.

Sehingga jam 2 petang tadi, kira-kira 10,865 penduduk daripada 3,282 keluarga dipindahkan ke 198 pusat pemindahan sementara di sembilan daerah.

Kuantan masih kekal daerah paling terjejas teruk dengan 3,276 orang daripada 882 buah keluarga ditempatkan di 34 pusat pemindahan, diikuti Maran dengan 1,895 orang daripada 1,024 keluarga di 36 pusat pemindahan dan Raub seramai 1,493 orang daripada 424 keluarga di 46 pusat pemindahan.

Ini diikuti oleh Jerantut seramai 1,375 mangsa, Lipis (1,119), Rompin (772), Temerloh (609), Bentong (191) dan Pekan (135).

Awal pagi semalam, Pahang hanya mencatatkan 44 mangsa dan ditempatkan di sebuah pusat pemindahan, tetapi meningkat kepada 5,904 orang pada waktu malam dan pagi ini seramai 9,176 orang.

Difahamkan, hujan sudah berhenti di kebanyakan daerah tetapi paras air sungai masih belum surut dan semua mangsa banjir kekal berlindung di pusat pemindahan.

Sementara itu, Jalan Kuantan-Segamat yang ditutup sementara untuk semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh di KM63 dan KM73 di Pekan pada 1 Januari lalu dijangka dibuka semula hari ini.

Jabatan Kerja Raya Pekan, dalam satu kenyataan, mengatakan jalan keluar akan dibuka untuk kenderaan pada sebelah malam hari Isnin selepas semua kerja pembaikan selesai.