
M Update, 18/12/2024 – Peralihan kenderaan rasmi kerajaan kepada kenderaan elektrik (EV) akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun hadapan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, proses peralihan itu telah bermula dan perkara itu akan dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) kelak.
Peralihan itu akan membabitkan semua peringkat atau jabatan tertentu, Nik Nazmi berkata, perkara itu bergantung kepada keperluan dan tertakluk kepada keputusan MOF.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan Kepada EV merupakan dokumen panduan yang dirangka oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
Ia dilakukan bersama pakar teknikal dan pihak berkepentingan yang terdiri daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi serta industri.
Dokumen itu memperincikan strategi peralihan yang merangkumi penilaian inventori ‘fleet’ semasa untuk mengenal pasti keperluan operasi, pemilihan kenderaan elektrik, perancangan infrastruktur pengecasan dan analisis kos serta pengurangan pelepasan karbon bagi memastikan peralihan yang terancang dan berkesan di samping memperkukuhkan agenda kelestarian alam sekitar.
Selain itu, aspek keselamatan, pemantauan, pelaporan dan latihan juga menjadi keutamaan untuk menjamin kelancaran transformasi ini.
Garis panduan itu juga bertujuan untuk memastikan peralihan kenderaan kerajaan kepada EV berjalan lancar malah dapat memacu inovasi dan pembangunan ekosistem EV di Malaysia secara mampan.