Input your search keywords and press Enter.

Penyokong Indonesia Ditahan Ugut Bom Stadium

M Update, 28/11/2019 – Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia kerana memuat naik satu komen berbaur ugutan bom berhubung perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia di antara pasukan Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, 20 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata suspek ditahan bersama dua lagi rakan senegaranya oleh pasukan Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.

“Ia susulan komen berbunyi ‘jangan lupa dibom stadiumnya kalau Indonesia kalah’ yang dimuat naik dalam satu paparan Facebook (FB) mengenai perlawanan itu menggunakan akaun FB Andre Stone.

“Perkara itu dikesan sehari sebelum perlawanan dan hasil siasatan, kita berjaya tahan suspek di Stadium Nasional Bukit Jalil bersama dua lagi lelaki warga Indonesia pada hari perlawanan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.

Katanya, suspek mengaku memuat naik komen berkenaan namun pemeriksaan tidak menemui sebarang bahan salah padanya dan dia juga tiada kaitan dengan kumpulan pengganas. Suspek kini direman 14 hari mengikut Akta Imigresen kerana tiada dokumen pengenalan diri sah, manakala dua lagi rakan senegaranya dibebaskan sebaik siasatan selesai,” tambah Huzir.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga Indonesia membuat laporan polis selepas diserang dan disamun empat lelaki dipercayai warga tempatan kira-kira jam 12.30 tengah malam sebaik mahu beredar dengan motosikal dari kawasan stadium selepas perlawanan.

“Wang tunai dan i-Kad pekerja asing miliknya dilarikan. Kita klasifikasi kes itu sebagai kes samun dan usaha mengesan suspek masih dijalankan,” kata Huzir.

Sumber : HM Online

Leave a Reply