Input your search keywords and press Enter.

Senarai Perkara yang Berkuat Kuasa Hari Ini

Foto Hiasan

M Update, 01/07/2025 – Berkuat kuasa hari ini, lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung bakal menikmati kadar tarif elektrik lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu.

Pelarasan itu meliputi perubahan kategori pengguna yang terbahagi kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan penggunaan voltan sama ada voltan rendah sederhana dan tinggi.

Menurut Suruhanjaya Tenaga (ST), pelarasan kadar purata tarif asas ditentukan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024, menjadikan purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan hingga 19 peratus berbanding tempoh RP3.

Bermula hari ini juga, kerajaan turut menguatkuasa tiga pindaan utama kepada peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Memetik kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), pindaan itu membabitkan pengecualian cukai jualan ke atas buah-buahan import terpilih seperti epal, oren, limau mandarin dan kurma sebagai sebahagian daripada buah-buahan import terpilih yang dikecualikan daripada rejim percukaian itu.

Pindaan lain membabitkan kenaikan ambang jualan tahunan bagi pendaftaran cukai perkhidmatan, serta pembatalan cadangan peluasan cukai perkhidmatan kepada sektor kecantikan.

Bagi perkhidmatan perbankan, ia turut akan dikenakan SST lapan peratus namun hanya tertakluk kepada perkhidmatan tertentu, bukannya asas yang biasa digunakan orang ramai.

Perkhidmatan perbankan asas yang membabitkan fi atau komisen seperti akaun semasa (akaun cek), akaun simpanan, atau akaun serupa termasuk e-dompet, tidak tertakluk kepada cukai perkhidmatan.

Di bawah fasa 1 peluasan skop cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa hari ini, cukai perkhidmatan akan dikenakan hanya kepada perkhidmatan perbankan perbendaharaan, korporat dan pelaburan terpilih seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A panduan cukai perkhidmatan mengenai perkhidmatan kewangan.

Mulai hari ini, pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas pesiaran diwajibkan untuk memakai tali pinggang keledar.

Mengikut arahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemandu perlu memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar. Mereka yang ingkar akan dikenakan kompaun RM300.

Penguatkuasaan itu terpakai bagi bas dibina selepas Januari 2020, manakala bas dibina sebelum 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali pinggang keledar.

Dalam pada itu, kerajaan menguatkuasakan sepenuhnya Permit Masuk Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula hari ini bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Jika kenderaan persendirian memasuki Malaysia tanpa VEP yang sah, mereka akan dikenakan denda RM300 dan denda itu perlu dijelaskan sebelum meninggalkan negara, termasuk disekat keluar.