
M Update, 09/10/2025 – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Turkiye akan membantu dalam usaha membebaskan sembilan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) Malaysia yang ditahan rejim Zionis Israel pada pagi Rabu.
Menurut Perdana Menteri, perkara tersebut dimaklumkan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menerusi Menteri Luarnya, Hakan Fidan kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keberanian Turkiye memperjuangkan nasib rakyat Palestin menjadi antara suara paling lantang di pentas antarabangsa dalam menentang kezaliman Israel yang semakin melampau.
“Abad ini belum pernah menyaksikan rakyat Gaza dihina sebegitu rupa. Walaupun suara kita kecil jika dibandingkan dengan Israel, sedikit pun tidak menimbulkan rasa takut.
“Kita bersama rakan dunia Arab dan Islam mahu penindasan ini dihentikan. Kita mahu Gaza bebas dan bantuan kemanusiaan segera sampai,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, sembilan rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel apabila kapal yang dinaiki mereka dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza dipintas pada pukul 10.50 pagi tadi waktu Malaysia.
Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Dua lagi aktivis adalah pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Selain itu, kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.
Kesemua mereka yang ditahan itu mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.
Misi kali ini dijalankan di bawah gabungan ‘FFC and Thousand Madleens to Gaza (TMTG), dengan 10 bot berlepas pada 27 September lalu dari Itali.
Sementara itu, kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
Dalam himpunan tersebut, Anwar turut menyelar sikap sesetengah masyarakat yang mengkritik usaha para sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) melakukan misi kemanusiaan menuju ke Gaza.
Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap para aktivis yang sanggup mengambil risiko dalam usaha menjayakan misi tersebut walaupun akhirnya dihalang oleh tentera Israel.
“Kamu tak berani pergi kamu doakan, ini tidak kamu hamun dia, kita bangga mereka mencipta sejarah anak-anak yang sanggup berjuang,” katanya.
Sumber: Kosmo