
M Update, 10/10/2025 – Beberapa aktivis Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dilaporkan telah dikasari dan mengalami penderaan fizikal serta layanan tidak berperikemanusiaan semasa dan selepas pemintasan oleh tentera Israel.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab (ADALAH) memaklumkan tindakan rejim Zionis itu termasuk menendang, menampar dan mencengkam secara agresif.
Beliau berkata, tentera Zionis melakukan perkara sama terhadap peserta kali ini seperti yang dialami peserta misi Global Sumud Flotilla sebelum ini.
“Sembilan aktivis Malaysia disahkan tiada kecederaan, namun pihak MyCARE akan mengatur pemeriksaan lebih lanjut sejurus dibebaskan bagi memastikan kesihatan mereka dalam keadaan yang baik,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini FFC di Serdang pada Khamis.
Kamarul Zaman berkata tujuh aktivis Malaysia sudah menandatangani surat deportasi, manakala status dua lagi aktivis masih belum diketahui.
Pihak MyCARE masih menunggu laporan daripada peguam ADALAH dan dijangka proses tribunal akan selesai pada tengah malam tadi waktu Malaysia.
Kesemua aktivis FFC x TMTG terdiri daripada doktor perubatan serta wartawan antarabangsa hanya membawa bantuan kemanusiaan untuk diserahkan kepada rakyat Gaza dan bukan pengganas seperti yang dilaporkan rejim Israel.
Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis daripada 25 negara, dengan menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad dipintas tentera Zionis pada semalam ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 10.50 pagi waktu Malaysia.
Sama-sama kita doakan semoga kesemua rakyat Malaysia dapat dibebaskan dengan segera.
link slot link slot link slot