
M Update, 14/11/2025 – Genting Malaysia Bhd mengesahkan bahawa semua kenderaan yang menggunakan Jalan Genting Highlands akan dikenakan caj.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan bahawa butiran lengkap mengenai Caj Jalan Persendirian tersebut akan diumumkan sebaik sahaja semuanya dimuktamadkan.
Menurut Genting Malaysia, bayaran itu diperlukan bagi menampung kos penyelenggaraan jalan dan cerun sepanjang 24 kilometer yang telah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat berkenaan sejak tahun 1960-an.
Jalan Genting Highlands yang dibina secara persendirian oleh Genting Malaysia di kawasan berliku dan bergunung-ganang itu menyediakan akses yang selamat ke Resorts World Genting serta destinasi pergunungan selain Genting Malaysia.
“Penggunaan yang kerap di Jalan Genting Highlands telah menyebabkan banyak kerosakan dan memerlukan penyelenggaraan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” menurut syarikat itu.
Genting Malaysia berkata, bayaran bagi penggunaan jalan persendirian adalah kaedah paling berdaya maju untuk menampung kos penyelenggaraan, pembaikan dan insiden tidak dijangka.
“Ini bagi memastikan jalan raya terus selamat untuk semua pengguna serta menyediakan akses kepada seluruh komuniti Genting Highlands, perniagaan, berjuta pelancong dan orang awam dari seluruh negara,” katanya.
Syarikat itu menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan merupakan usaha swasta di jalan persendirian yang terletak di atas tanah persendirian.

“Genting Malaysia menggalas tanggungjawab untuk menjaga keselamatan jalan raya dan cerun dengan serius.
“Menjalankan kerja di kawasan pergunungan adalah mencabar, berbahaya dan mahal, tetapi ia penting untuk memastikan keselamatan jalan raya dan lereng, serta penambahbaikan berterusan bagi semua pengguna,” katanya.
Selain itu, syarikat juga menempatkan pasukan di pertengahan dan puncak bukit dalam keadaan bersedia sepanjang masa untuk sebarang kemungkinan luar jangka dengan pasukan tindak balas kecemasan terlatih sekiranya berlaku kemalangan dan kecelakaan.
Jelasnya, jalan ini memainkan peranan penting dalam memangkinkan industri pelancongan di kawasan berkenaan, sekali gus membuka peluang kepada perusahaan dan pekerjaan, merancakkan ekonomi tempatan serta menyumbang kepada ekonomi negeri Pahang dan negara.
Selain itu, Jalan Genting Highlands juga membuka peluang kepada kewujudan destinasi pergunungan lain selain daripada yang diuruskan oleh kumpulan Genting Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan yang dinamik.