
M Update, 10/02/2026 – Lima sekeluarga, termasuk seorang individu orang kurang upaya (OKU), mengalami trauma selepas menjadi mangsa samun oleh lima lelaki bersenjatakan parang dan kayu dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Air Resam, Durian Tunggal, Melaka pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, semua mangsa dipercayai diikat menggunakan pita pelekat sebelum suspek melarikan diri bersama pelbagai barangan kemas, wang tunai kira-kira RM2,000, dua telefon bimbit serta dokumen pengenalan diri, dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM130,000.
Kejadian berlaku ketika seorang mangsa berada di bahagian belakang rumah membungkus susu segar sebelum lima lelaki tidak dikenali meluru masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.
Suspek berbaju hitam dan bertutup muka mengacukan parang serta kayu sebelum mengikat mangsa dan menggeledah rumah untuk mencari barang kemas. Beberapa mangsa turut dipukul, manakala dua daripadanya cedera dan mendapatkan rawatan.
Suspek dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang rumah selepas menyedari kehadiran seorang penunggang motosikal yang datang ke hadapan rumah mangsa untuk mengambil bekalan susu. Katanya, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, namun polis telah menemui tujuh cap jari di tempat kejadian untuk dihantar ke Pusat Pengenalan Forensik (PIFOS) bagi tindakan lanjut.
Unit Anjing Pengesan (K9) turut membawa kepada penemuan dua telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa di laluan suspek melarikan diri.
Kes disiasat sebagai samun berkumpulan bersenjata dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.