Input your search keywords and press Enter.

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah: Mahkamah Perintah Pampasan RM1.43 Juta

M Update, 11/02/2026 – Seramai 17 ahli keluarga mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat bersama 14 bekas pelajarnya berjaya memperoleh pampasan berjumlah RM1.43 juta selepas memenangi sebahagian tuntutan dalam saman fitnah yang difailkan terhadap pemilik pusat tahfiz berkenaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Dr Suzana Muhamad Said, memutuskan supaya pemilik pusat tahfiz, Mohd Zahid Mahmood dan isterinya, Samsurini Mohd Anuwi serta MAIWP membayar ganti rugi kesedihan sebanyak RM10,000 kepada setiap waris yang kehilangan anak dalam kejadian itu.

Mahkamah turut mengarahkan ketiga-tiga defendan menjelaskan kos sebanyak RM20,000 kepada setiap plaintif.

Jumlah keseluruhan RM1.43 juta itu merangkumi ganti rugi teladan dan teruk sebanyak RM500,000 yang perlu dibayar secara bersama oleh semua defendan, selain ganti rugi nominal RM30,000 kepada setiap plaintif.

Suzana dalam keputusannya berkata, mahkamah mendapati kesemua defendan cuai dalam memastikan keadaan dan keselamatan pelajar tahfiz dan guru yang berada dalam bangunan berkenaan.

Keputusan mahkamah adalah berdasarkan pembuktian yang dikemukakan, dan sebarang penghakiman tidak dibuat berasaskan emosi atau kesesuaian semata-mata, sebaliknya berpandukan undang-undang sedia ada, dengan beban pembuktian terletak kepada pihak plaintif.

Beliau berkata, kebakaran yang mengakibatkan kematian dan kecederaan tidak dinafikan oleh mana-mana pihak, namun persoalan yang perlu ditentukan adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.

Katanya, pihak defendan tidak mengaku bertanggungjawab dan menyatakan kejadian itu berpunca daripada aktiviti jenayah yang telah diputuskan oleh mahkamah jenayah, namun kes berkenaan merupakan tuntutan sivil yang menilai aspek kecuaian serta pihak yang perlu dipertanggungjawabkan.

Bagaimanapun, Suzana menolak tuntutan plaintif terhadap ganti rugi trauma, kecederaan dan gangguan emosi serta tuntutan wang derma yang diperoleh pusat tahfiz daripada orang awam.

Pemilik pusat tahfiz, Mohd Zahid Mahmood dan isteri Samsurini Mohd Anuwi. – Foto Bernama

Pada Jun 2018, kesemua plaintif memfailkan saman berkenaan terhadap pasangan suami isteri itu dan MAIWP selepas mendakwa ketiga-tiga defendan melakukan kecuaian sehingga menyebabkan sebahagian pelajar pusat tahfiz itu menjadi mangsa kebakaran dan tidak dapat menyelamatkan diri semasa berlakunya kebakaran pada 14 September 2017.

Mereka menuntut deklarasi bahawa ketiga-tiga defendan itu cuai bagi memastikan kewujudan peralatan mencegah kebakaran di tangga jalan keluar pintu asrama pelajar itu, gagal mewujudkan dua laluan keluar pada bilik asrama dan membenarkan bangunan yang belum memiliki Perakuan Menduduki/Perakuan Siap atau Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) untuk dijadikan asrama pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Tragedi kebakaran pusat tahfiz yang terletak di Kampung Datuk Keramat, di sini berlaku pada jam 5.15 pagi, 14 September 2017 menyebabkan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar maut selepas terperangkap dalam kebakaran bangunan sementara itu.

Pada 21 Mac 2024, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki berusia 22 tahun yang diperintahkan ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selepas disabitkan kesalahan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran pada 2017.

Tertuduh, yang berusia 16 tahun ketika kejadian, sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020, manakala rayuannya turut ditolak Mahkamah Rayuan pada 11 September 2023.

Sumber: BH