Input your search keywords and press Enter.

Tengku Zafrul dilantik Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri

M Update, 05/03/2026 – Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa hari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa pelantikan tersebut telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi tempoh dua tahun.

Menurut kenyataan itu, pelantikan berkenaan dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri.

Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar Tengku Zafrul dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya serta penuh tawaduk demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 3 Disember 2025 bagi tempoh dua tahun untuk memanfaatkan kepakarannya dalam memacu agenda pelaburan negara dan mengukuhkan daya saing ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) selama enam tahun, iaitu tempoh maksimum yang dibenarkan. Kerjayanya dalam pentadbiran kerajaan bermula apabila mengangkat sumpah sebagai Senator pada 10 Mac 2020 sebagai Menteri Kewangan, sebelum menyambung penggal kedua pada 3 Disember 2022 dan menamatkan perkhidmatan di Dewan Negara pada 2 Disember 2025.