
M Update, 10/04/2026 – Polis sedang giat mengesan seorang tahanan reman yang berdepan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak selepas melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, memaklumkan suspek ialah lelaki warga Pakistan dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24 tahun.
Menurutnya, suspek berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 377C dan 392 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017.
“Suspek turut menghadapi dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) AKSTKK 2017 serta satu pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kali terakhir dilihat memakai baju-T berwarna oren dan seluar panjang hitam.
Tambahnya, pihak polis telah mempergiatkan operasi memburu suspek di kawasan sekitar serta melaksanakan pelbagai usaha lain sebaik menerima laporan kejadian itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada memandangkan suspek mempunyai rekod kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.