10,000 Pelarian Rohingya Dari Malaysia Bakal Ditempatkan Di Turkiye Menerusi Program TVET

M Update, 20/11/2026 – Seramai 10,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia bakal ditempatkan di Turkiye menerusi program latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) selepas cadangan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan Kerajaan Turkiye itu dicapai susulan lawatan kerja rasmi beliau ke negara berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, inisiatif berkenaan menawarkan latihan TVET selama tiga hingga enam bulan bagi membolehkan pelarian memperoleh kemahiran praktikal mengikut keperluan sektor industri di Turkiye.

Katanya, pendekatan itu bukan sekadar melibatkan penempatan semula ke negara ketiga, sebaliknya membuka peluang kepada golongan berkenaan membina kehidupan baharu serta meningkatkan kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA) berkata, pelaksanaan program itu akan diselaraskan bersama pihak berkuasa Turkiye, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan agensi berkaitan.

Proses pemilihan, latihan serta penempatan akan mengambil kira keperluan industri, persetujuan individu terlibat dan peraturan antarabangsa.

Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai perkembangan positif dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya, dengan menitikberatkan aspek kemanusiaan selain pengurusan dan penguatkuasaan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, Malaysia mungkin memerlukan lebih satu abad untuk menyelesaikan isu penempatan semula pelarian sekiranya kadar penghantaran ke negara ketiga kekal pada tahap semasa.

Beliau turut memaklumkan hanya 974 pelarian dihantar ke negara ketiga bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.