Dua anggota TUDM direman tujuh hari kes rampasan dadah di Pangkalan Udara Subang

M Update, 20/11/2026 – Dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rampasan dadah di Pangkalan Udara Subang, Shah Alam, Selangor, pada 17 November lalu.
Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 28 dan 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau, bermula Jumaat.
Kedua-dua suspek yang masing-masing berpangkat Koperal dan Pegawai Waran II dipercayai mempunyai kaitan dengan rampasan dadah di ruang legar ketibaan Cabang Pergerakan Udara, pangkalan berkenaan.
Mereka ditahan kira-kira jam 7 pagi Jumaat di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan lanjut.
