WANITA TERCAMPAK SELEPAS MOTOSIKAL DIREMPUH, PEMANDU PROTON SATRIA KUNING DIBURU

M Update, 23/11/2026 – Polis sedang mengesan pemandu sebuah Proton Satria berwarna kuning yang dipercayai melarikan diri selepas melanggar sebuah motosikal di Kampung Jawa, Jalan Hulu Langat, pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.56 pagi ketika seorang wanita berusia 53 tahun memberhentikan motosikalnya di bahu jalan untuk berurusan di sebuah kedai berhampiran.

Menurutnya, sebuah kereta Proton Satria berwarna kuning secara tiba-tiba merempuh bahagian belakang motosikal berkenaan sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya.
Beliau berkata, pihak polis turut mengesan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi pendek berkaitan kejadian itu yang tular di media sosial kira-kira jam 1.50 tengah hari, Sabtu.
Rakaman berkenaan memaparkan sebuah kereta berwarna kuning melanggar penunggang motosikal wanita dari arah belakang berhampiran sebuah premis makanan sebelum pemandunya dilihat terus memecut meninggalkan lokasi kejadian.
