KANAK-KANAK 20 BULAN MASIH HILANG, OPERASI SAR DITERUSKAN DI KUALA KRAI

M Update, 23/11/2026 – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan dilaporkan masih belum ditemukan selepas dipercayai hilang di Kampung Bechah Salak, Kuala Krai, pada petang Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada jam 6.37 petang.

Susulan laporan tersebut, seramai sembilan anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba dalam tempoh tujuh minit selepas menempuh perjalanan kira-kira 10 kilometer dari balai.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan di sekitar kediaman mangsa, kawasan kolam serta hutan berhampiran bagi mengesan kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, usaha pencarian turut mendapat bantuan anggota polis dan orang awam bagi memperluaskan kawasan operasi.

Bagaimanapun, keadaan cuaca yang semakin gelap menjadi antara cabaran dihadapi pasukan penyelamat sepanjang operasi berlangsung.

Beliau berkata, operasi SAR masih diteruskan, namun kanak-kanak itu belum ditemukan setakat ini.

Semoga adik ini segera ditemukan dalam keadaan selamat.