JPS RAMAL BANJIR DI EMPAT JAJAHAN DI KELANTAN BERMULA 24 NOVEMBER

M Update, 23/11/2026 – Empat jajahan di Kelantan dijangka berdepan kemungkinan banjir bermula 24 hingga 27 November ini berdasarkan analisis data hidrologi menerusi model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menerusi Ramalan Awal Banjir Negeri Kelantan yang dikeluarkan hari ini, JPS memaklumkan kawasan yang berpotensi terjejas ialah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat, terutama lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas banjir, kawasan rendah serta kawasan berisiko.
Di Jeli, kawasan yang diberi perhatian melibatkan lembangan Sungai Golok termasuk Sungai Buloh, Sungai Lanas, Sungai Legeh dan Sungai Satan.
Bagi jajahan Pasir Mas, antara kawasan berisiko ialah Sungai Golok, Sungai Bunut Susu, Sungai Meranti, Sungai Tandak, Sungai Kedotok, Sungai Lanchang, Tasik Garu, Tasik Danau To’ Uban, Sungai Rengas, Sungai Lemal dan Sungai Lemal Mati.
Di Tanah Merah pula, kawasan yang berpotensi terjejas merangkumi Sungai Golok, Sungai Jegor, Sungai Manal, Sungai Jedok, Sungai Air Bujing dan Sungai Lanas.
Sementara itu, bagi jajahan Tumpat, kawasan yang dikenal pasti termasuk Sungai Golok, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Mentua, Sungai Gali, Sungai Kelaboran dan Sungai Tapang.
JPS memaklumkan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa, manakala amaran banjir akan disebarkan sekiranya hujan lebat atau signifikan berterusan di kawasan lembangan sungai terbabit.
Bagaimanapun, kejadian banjir berkemungkinan berlaku lebih awal atau lewat berbanding tempoh yang diramalkan, bergantung kepada keadaan cuaca dan hujan semasa.
Sehubungan itu, agensi pengurusan bencana serta penduduk, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko, dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat serta amaran banjir terkini menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook PublicInfoBanjir.
