KES AYAM DIDAKWA TIDAK HALAL: SYARIKAT, DUA PENGARAH DAN DUA PEKERJA MENGAKU TIDAK BERSALAH

M Update, 24/11/2026 – Sebuah syarikat pembekalan ayam bersama dua pengarah, seorang pengurus dan seorang pekerjanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, atas pertuduhan membekalkan 6,555 kilogram (kg) ayam menggunakan representasi yang didakwa boleh memperdayakan pengguna mengenai status halal produk berkenaan.
Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu melalui wakilnya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, ‘Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid.
Empat individu yang turut mengaku tidak bersalah ialah dua pengarah syarikat berkenaan, Zafirah Karim, 36, dan warga Bangladesh, Tanjena Akter Mollah, 35, selain pengurus, Hossain Saddam, 34, serta pekerja warga tempatan, Abdul Rahim Ariff Ali, 34.
Mengikut pertuduhan, Zafirah, Tanjena Akter dan Hossain didakwa mengikut kapasiti masing-masing membekalkan 6,555kg ayam yang telah disembelih serta diproses menggunakan representasi yang boleh mengelirukan pengguna bahawa produk berkenaan halal atau sesuai dimakan oleh orang Islam.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah premis di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong, pada jam 12.45 tengah malam, 30 Oktober lalu.
Syarikat berkenaan didakwa mengikut Subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang memperuntukkan hukuman di bawah Subperenggan 5(a) perintah sama.
Jika sabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh mencecah RM10 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, pertuduhan terhadap pengarah dan pengurus berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 65 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana disifatkan melakukan kesalahan di bawah Subperenggan 4(1) perintah sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman boleh meningkat kepada denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi Abdul Rahim pula, dia didakwa bersubahat dengan syarikat terbabit dalam pembekalan ayam yang telah disembelih dan diproses menggunakan representasi yang boleh memperdayakan pengguna bahawa produk berkenaan halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan boleh dihukum di bawah Subperenggan 5(b) perintah sama, dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Mohd Sophian Zakaria dan Norhashimah Hashim.
Ketiga-tiga OKS iaitu Zafirah, Tanjena Akter dan Hossain diwakili peguam, Bernard Francis, manakala Abdul Rahim tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan Zafirah dan Abdul Rahim, kedua-duanya warga tempatan, diikat jamin sebanyak RM35,000 setiap seorang dengan dua penjamin.
Antara syarat tambahan yang ditetapkan ialah menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada setiap awal bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, permohonan jaminan bagi dua lagi OKS warga Bangladesh, Tanjena Akter dan Hossain, tidak dibenarkan.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kesemua OKS dibicarakan secara bersama.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Januari 2027 bagi penyerahan dokumen.
Terdahulu, pada 30 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan kegiatan merendam ayam dalam air yang dialirkan arus elektrik sebelum disembelih terbongkar menerusi serbuan di sebuah gudang di Puchong.
Serbuan menerusi Op Taring Chiller pada tengah malam itu membawa kepada penahanan 12 lelaki warga asing serta rampasan 6,555kg ayam mentah yang dianggarkan bernilai RM85,400.
Sumber: Sinar Harian
