Tindakan MCMC Terhadap Google Tidak Jejas Pelaburan di Malaysia – Anwar

M Update, 27/11/2026 – Tindakan undang-undang yang diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google tidak akan memberi kesan kepada pelaburan syarikat teknologi gergasi itu di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Google, Ruth Porat, semalam bagi membincangkan isu berkenaan.
Menurutnya, pihak Google turut memberi jaminan untuk terus bekerjasama dalam menangani perkara yang dibangkitkan.
Anwar berkata, antara isu yang disampaikan kepada syarikat itu ialah kandungan perjudian dalam talian yang dilaporkan kepada Google, namun didakwa masih belum diambil tindakan selepas tempoh enam bulan.
Beliau percaya Google kini sedang meneliti perkara tersebut dan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani isu berkenaan.
Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang, hari ini.
Pada Rabu lalu, MCMC memaklumkan telah memfailkan dua saman terhadap Google LLC dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM600 juta.
Tindakan itu dibuat susulan dakwaan kegagalan syarikat berkenaan menangani kandungan berbahaya yang disiarkan menerusi platform YouTube.
