Tiga Pegawai TUDM, Tiga Orang Awam Didakwa Edar 96.2kg Dadah Guna Aset Tentera

M Update, 27/22/2026 – Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah menggunakan aset ketenteraan.
Enam individu terbabit ialah Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33, Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27, Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34, Tan Sui Seng, 48, Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28, dan Afifah Amdas, 34.
Mereka sekadar mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa secara bersama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 96.2 kilogram di Pangkalan TUDM Subang pada 17 November lalu.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 15 sebatan.
Pertuduhan itu menyusul selepas polis menahan 11 individu, terdiri daripada lima pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam, dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.
Kesemua mereka disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM.
Dalam operasi sama, polis turut merampas 96.64 kilogram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia.
