M Update, 1/3/2019 – Mahkamah Koroner hari ini menangguhkan prosiding inkues bagi mengetahui punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November 2018, kepada 19 Mac depan.
Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas Pegawai Pengendali Kes, Hamzah Hamdan, memberitahu pihak pendakwaan akan memfailkan afidavit berhubung permohonan jawatankuasa bertindak kuil untuk menggantungkan sementara prosiding. Permohonan itu akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya Isnin depan. Kami baru saja menerima afidavit daripada perayu (Jawatankuasa) dan perlu memfailkan melalui E-Filing di Mahkamah Rayuan petang ini,” katanya.
Terdahulu dalam prosiding hari ini, saksi ke-19, Chan Wei Jie, 24, berkata kereta Kancil miliknya turut menjadi sasaran perusuh apabila ditumbuk dengan tangan dan seorang lelaki naik ke atas bonet depan kereta dengan sebatang kayu. Kira-kira 10 orang yang mengelilingi kereta menjerit menyuruh kami pergi dari situ. Ketika itu saya bersama seorang rakan keluarga yang dipanggil pak cik.
“Saya hanya mendengar jeritan turun, pergi dan berhenti. Saya fikir mungkin mereka ingatkan kami mahu melanggar mereka. Selepas itu saya bercakap dalam Bahasa Mandarin dan apabila mendengar suara saya orang ramai itu tidak lagi menumbuk kereta saya,” katanya.
Beliau berkata, mereka kemudian beredar dari situ dan pergi ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kemalangan terbabit. Sebelum itu, Wei Jie berkata, keretanya dilanggar jentera pemadam Fire Rescue Tender (FRT) yang berundur selepas melanggar van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Wei Jie yang juga pegawai pemasaran, berkata pada malam kejadian beliau bersama seorang rakan keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah di USJ12.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian pada jam 1.15 pagi, keretanya tersekat di dalam kawasan insiden rusuhan itu.
“Tiba-tiba saya ternampak FRT berundur dan melanggar EMRS dan beberapa kenderaan sebelum menghentam kereta saya. Kereta saya berpusing 180 darjah selepas FRT langgar bahagian depan tempat pemandu,” katanya. Katanya, selepas dilanggar beliau tidak turun dari kereta tetapi rakan keluarganya yang digelar ‘pakcik’ turun untuk melihat kenderaan selepas dirempuh FRT.
Ketika ditanya Pegawai Pengendali Kes, Faten Hadni Khairuddin, sama ada beliau nampak anggota bomba turun dari van, Wei Jie menjawab tidak.
“Saya hanya nampak pintu van terbuka sebelum FRT merempuh kereta saya. Saya juga nampak ada seseorang membaling topi keledar ke cermin van (ERMS) yang sudah pun pecah,” katanya.
Sumber : BH Online