Mulai tahun hadapan, Kerajaan Malaysia akan menggunakan hasil daripada cukai gula untuk menyediakan sarapan percuma dan sihat kepada murid sekolah rendah. Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir berkata, langkah itu bagi membolehkan kanak-kanak kekal sihat dan bertenaga dalam memulakan sesi persekolahan setiap hari.
Tegas beliau, tidak ada cukai baharu mulai tahun ini kecuali cukai gula yang sudah diumumkan sebelum ini yang ditangguhkan pelaksanaannya kerana kerajaan ingin meneliti mekanisme berkesan untuk memastikan pelaksanaan cukai bagi penjagaan kesihatan mencapai objektifnya.
Kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2019 buat kali pertama mencadangkan pelaksanaan cukai eksais 40 sen seliter pada minuman manis yang mengandungi lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml), termasuk buah-buahan dan jus sayuran dengan kandungan gula lebih 12 gram bagi 100ml mulai 1 April 2019 ditangguhkan kepada 1 Julai bagi memberi masa yang cukup kepada pihak industry dalam membuat persediaan.
Selain itu, Tun Mahathir menyatakan bahawa Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC) kini dalam proses akhir bagi memuktamadkan cadangan dalam meningkatkan hasil cukai negara dan cadangan tersebut dijangka dapat menangani usaha mengurangkan ketirisan cukai, bagaimana untuk mengakses ekonomi bawah tanah, meningkatkan cukai pentadbiran, dan mencari sumber pendapatan baru.
Disamping itu, kerajaan juga kini merasionalisasikan insentif cukai untuk pelaburan, sebagai struktur pentadbiran dan pentadbiran semasa insentif pelaburan berpecah, mahal, dan tidak berkesan dan Malaysia kini menawarkan lebih 130 jenis insentif dikendalikan oleh 32 Agensi Promosi Pelaburan (IPA) yang mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing selain beberapa agensi yang diiktiraf kerajaan.
Ujar Tun Mahathir lagi, kerajaan memerlukan cukai holistik dan insentif pelaburan mudah yang dapat menarik pelaburan masa depan serta insentif akan diberikan kepada sektor yang dirasakan sesuai dan bergantung kepada jenis pelaburan yang diperlukan oleh negara. Agensi yang terbabit dalam pemberian dan meluluskan insentif cukai juga akan diperkemaskan.
Dalam perkembangan sama, kerajaan menetapkan kadar cukai korporat dikurangkan kepada 17%berbanding 18%kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan modal berbayar di bawah RM2.5 juta dan perniagaan dengan pendapatan bercukai tahunan di bawah RM500,000. Untuk syarikat besar, biarpun kadar cukai sedikit lebih tinggi, tetapi kadar cukai yang sebenar yang dikenakan kurang daripada 10% kesan beberapa insentif yang diberikan sebelum ini.