M Update, 29/3/2019 – Seorang nenek berusia 71 tahun menyentuh perasaan netizen selepas gambarnya menjadi tular ketika menjunjung guni pakaian dan berjalan kaki sejauh lebih 16 kilometer untuk didermakan kepada mangsa Taufan Idai di Zimbabwe.
Gambar nenek terbabit, Plaxedes Dilon dimuat naik oleh beberapa sukarelawan gereja di media sosial selepas dia menghantar bantuan dengan berjalan kaki dari rumahnya di Harare, lapor Daily Mail.
Menurut peniaga baju itu, dia terpaksa berbuat demikian kerana tidak mampu menaiki bas. Saya terus mengumpul baju dan jaket yang pada mulanya dibeli untuk dijual semula dan memikulnya pada keesokan hari,” katanya kepada portal berita Zimlive.
Kisah itu turut mencuri perhatian seorang hartawan, Strive Masiyiwa yang menawarkan untuk membina sebuah rumah untuk Plaxedes selain memberi bantuan wang tunai berjumlah AS $1,000 (RM4,082) setiap bulan. Dia mempunyai perasaan simpati luar biasa yang pernah saya lihat. Saya ingin mencari dan berjumpa dengannya.
Saya ingin meluangkan masa berdoa dengannya. Kemudian, saya akan membina sebuah rumah di mana saja yang dia mahu. Ia akan dilengkapi dengan tenaga solar dan bekalan air. Saya juga ingin memberi wang sebanyak AS $1,000 sebulan untuk sepanjang hidupnya,” tulis Masiyiwa di akaun Facebook.
Taufan Idai dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 732 mangsa dan menyebabkan ribuan lagi mangsa hilang tempat tinggal, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – HM Online