Input your search keywords and press Enter.

PKP 2.0 : Perkhidmatan Kaunter KWSP Hanya Melalui Janji Temu Online

M Update, 12/01/2021 – Kaunter dan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi negeri yang terbabit dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Selangor, Melaka, Johor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan akan dibuka untuk janji temu sahaja, melalui Janji Temu Online di www.kwsp.gov.my/janjitemu.

Langkah sama akan turut diambil bagi negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Kedah, Kelantan dan Pahang.

Ketika negara memasuki fasa baharu kawalan pergerakan untuk mengawal penularan COVID-19 yang kian serius, agensi itu amat menggalakkan ahli untuk berurusan secara dalam talian melalui i-Akaun untuk perkhidmatan tertentu bagi mengurangkan keperluan untuk hadir di cawangan sekali gus mengurangkan risiko jangkitan.

“Semua kios KWSP akan beroperasi pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi urusan berkaitan i-Sinar, ahli boleh melayari i-Sinar Online di www.isinar.kwsp.gov.my bagi membuat permohonan Kategori 1 dan Kategori 2, semakan status permohonan, mengajukan soalan lazim serta panduan pengguna.

“Ahli juga boleh menghubungi talian hotline i-Sinar di 03-89224848 untuk membuat pertanyaan umum selain menjadualkan janji temu di mana-mana pejabat dan kaunter KWSP melalui Janji Temu Online bagi urusan lain,” kata KWSP menerusi kenyataan hari ini.

Menurut KWSP, tarikh pembayaran caruman wajib KWSP kekal pada setiap 15 haribulan dan majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman web KWSP, perbankan Internet ataupun di kaunter ejen bank yang dilantik.

Jika ada keperluan untuk hadir di cawangan, KWSP memohon kerjasama semua pengunjung untuk mematuhi SOP ditetapkan dengan menjalani pemeriksaan suhu serta mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera dan mematuhi langkah penjarakan sosial ditetapkan pada setiap masa ketika berada di dalam premis KWSP.

KWSP amat menghargai pertimbangan dan kerjasama daripada ahli dan dalam persekitaran semasa yang tidak menentu ini dan agensi itu terus komited untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada semua ahli sama ada melalui perkhidmatan kaunter atau saluran digital.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau melayari laman web www.kwsp.gov.my.