M-Update,2/4/2019, SHAH ALAM: Sesuatu bangsa perlu berpegang kepada tiga nilai hidup iaitu kerajinan, mengejar ilmu dan sikap amanah jika mahu memacu kejayaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Perdana Menteri berkata, dengan hanya menguasai ilmu pengetahuan tanpa kerajinan, seseorang itu tidak mungkin berjaya, berbanding seseorang yang tiada ilmu tetapi rajin mengejar pengetahuan.
Bagaimanapun, katanya, jika seseorang itu rajin dan menguasai ilmu, itu gabungan yang akan membawa kejayaan.Beliau berkata, pengalamannya ke luar negara membolehkan beliau melihat bagaimana ada orang yang berjaya, ada yang tidak berjaya dan ada yang tidak mungkin akan berjaya. “Yang menyebabkan kita berjaya ialah pegangan kita kepada nilai hidup. Nilai hidup yang menentukan kita berjaya atau tidak.
“Saya dapati, mereka yang berjaya semuanya mereka yang rajin, yang sanggup bekerja kuat, walaupun mereka tidak berilmu pengetahuan tetapi bila rajin, mereka berjaya.”Ini naluri manusia. Bukanlah dia pandai sangat tetapi kalau dia berusaha berkali-kali, maka dia menguasai kecekapan itu. Sekurang-kurangnya lebih berjaya daripada mereka yang kurang berusaha,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama “Kebangkitan Malaysia sebagai Harimau Asia” pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, malam tadi. Yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Dr Mahathir berkata, semua pihak perlu berpegang kepada sikap amanah dan berasa malu sekiranya gagal dalam setiap usaha dan tugasan yang diamanahkan.Katanya, beliau kagum dengan masyarakat Jepun yang lebih rela membunuh diri daripada menanggung malu akibat gagal dalam apa yang diusahakan.
Amanah penting. Saya ingin menarik perhatian mengenai perkara ini. Saya dapati ada pendapat, iaitu kalau kita hutang tidak perlu bayar.”Di negara kita ada berpendapat hutang tidak perlu bayar. Bila kita ada pendapat seperti itu banyak malapetaka akan menimpa kita. Bukan kita seorang sahaja tapi kaum, bangsa kita.
“Sebab itu beramanah janji nak bayar hutang, kita kena bayar hutang. Nak pinjam dari bank pun kena bayar.PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) bukan tiada duit. Ada duit tapi tak bayar sebab tidak ada yang menyebabkan kita berasa malu,” katanya.
–BHarian