Input your search keywords and press Enter.

Ajaran Sesat Mencemari Kesucian Islam

Antara bentuk pencemaran terhadap kesucian Islam adalah dakwaan bahawa semua agama adalah sama atau mendakwa penyatuan semua agama termasuk Islam ke dalam satu agama baharu. Contohnya, ajaran PLURALISME yang mendakwa tiada satu pun agama tunggal dan eksklusif yang boleh disifatkan sebagai agama yang benar atau setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam setiap agama. Inilah dakwaan sesat dan menyesatkan.

Sesungguhnya hanya Islam merupakan agama yang diredai Allah SWT. Firman Allah SWT:Maksudnya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah Al-Maa’idah; 5 : 3)

Islam adalah cara hidup yang lengkap meliputi segala urusan kehidupan manusia. Islam merupakan agama yang telah lengkap dengan pengutusan nabi dan rasulNya yang terakhir iaitu Muhammad SAW. Justeru, sebarang dakwaan sama ada wujudnya kitab lain selain Al-Qur’an, nabi baharu sama ada nabi yang bersifat universal atau setempat seperti Rasul Melayu, syariat baharu atau tafsiran baharu terhadap syariat yang telah termaktub dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah, pastinya ia merupakan ajaran menyeleweng dan sesat.

Dalam persoalan agama atau ajaran baharu ini wujud dakwaan bahawa semua agama adalah sama. Sama menurut mereka adalah sama dari sudut tujuan membawa manusia kepada mengenal, menyembah dan mengabdikan diri kepada Tuhan yang satu sebagaimana dakwaan fahaman Pluralisme. Secara kasarnya, dakwaan ini bagaikan benar kerana manusia memang memerlukan kepercayaan, pengamalan dan pengabdian. Namun, adakah aspek kepercayaan, pengamalan dan pengabdian kepada Tuhan dalam Islam sama dengan agama-agama lain? Tidak sama sekali. Rukun-rukun Iman, Islam dan Ihsan yang wujud dalam agama Islam adalah jelas dan amat berbeza dengan agama-agama lain.

Inilah aspek yang membezakan Islam dengan agama-agama lain. Firman Allah SWT: Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Ali ‘Imran; 3 : 19)

Sesungguhnya pada hari ini, cabaran akidah ataupun kepercayaan yang menyeleweng daripada Islam bukan lagi datang dengan nama-nama agama seperti Majusi, Hindu, Buddha atau Kristian. Ia datang dengan identiti yang lebih mengelirukan seperti; (i) Sekularisme iaitu fahaman yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia, (ii) Liberalisme iaitu fahaman yang mahukan kebebasan bertindak dalam setiap kepercayaan dan, (iii) Pluralisme iaitu fahaman yang menyatakan bahawa setiap agama itu sama sahaja tujuannya. Sesungguhnya, fahaman dan ideologi sebegini telah dikategorikan oleh mereka yang mengkaji dan mendalami bidang ini sebagai agama-agama baharu yang muncul pada abad ini.

Sebagai seorang Muslim yang cakna akan pegangan dan agamanya mestilah berhati-hati dalam mempercayai dan meyakini ideologi baharu yang wujud apatah lagi mengelirukan. Sudah pasti para alim ulama ialah mereka yang berkelayakan untuk kita rujuk dalam merungkaikan kekeliruan tersebut.

Leave a Reply