Input your search keywords and press Enter.

Jangan Tangguh Pemberian Vaksin Bayi Walau PKP

M Update, 9/4/2020 – Bayi dan kanak-kanak yang masih mempunyai temujanji untuk mendapat suntikan imunisasi atau vaksin perlu meneruskan rawatan seperti dijadualkan bagi mengelakkan mereka mendapat penyakit lain.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Kesihatan Ibu Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Tuty Aridzan Irdawati Mohsinon, berkata vaksin dan imunisasi berkenaan antara suntikan penting kepada bayi dan kanak-kanak berkenaan.

Sekiranya vaksin atau imunisasi itu diberikan lewat dari tarikh yang dijadualkan, bimbang sekiranya suntikan itu tidak lagi berkesan kepada bayi atau kanak-kanak berkenaan.

“Kedua-dua suntikan itu adalah perkhidmatan penting walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini. Jadi ibu atau bapa perlu membawa anak mereka mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

“Selain perkhidmatan vaksin dan imunisasi, antara rawatan penting yang diteruskan semasa PKP ialah rawatan kepada ibu yang sedang menerima pil perancang serta lawatan jururawat di rumah bagi melihat keadaan ibu dan anak selepas dilahirkan.

“Bagi yang mendapatkan rawatan jururawat ke rumah, sekiranya ada kontak rapat atau pesakit dalam pemantauan (PUI) COVID-19 di rumah terbabit, perlu memaklumkan perkara itu supaya jururawat dapat bersedia terlebih dahulu sebelum memberikan rawatan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung di Facebook KKM yang bertajuk ‘Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak semasa penularan COVID-19’, pagi tadi. Turut bersama dalam siaran langsung berkenaan ialah Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan AU2, Keramat, Dr Zamzarina Ahmad.

Sementara itu, Dr Zamzarina berkata, bagi ibu yang masih berada di kampung semasa PKP ini dan mempunyai temujanji di klinik kesihatan berlainan daerah dan negeri juga perlu meneruskan perkhidmatan berkenaan.

“Mereka perlu hubungi klinik berdekatan dengan lokasi yang mereka duduki itu untuk mendapatkan tarikh temujanji baharu atau pun meneruskan temujanji berkenaan di klinik kesihatan berdekatan.

“Mereka hanya perlu membawa buku kesihatan yang diberikan oleh klinik kesihatan sebelum ini, kita faham semasa perintah PKP ini masyarakat tidak boleh merentasi daerah atau negeri. Jadi bagi mereka yang terperangkap di kawasan jauh dari klinik sebelum ini, mereka boleh dapatkan rawatan yang sama di klinik kesihatan berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zamzarina berharap ibu yang membawa anak mereka ke klinik tidak perlu bimbang dijangkiti virus COVID-19 kerana kaunter saringan kesihatan COVID-19 diletakkan jauh dari Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak.

“Selain itu, di dalam klinik juga kita menyediakan cecair pembasmi kuman serta menjaga jarak sosial. Malah sekiranya ibu terbabit datang bersama suaminya, hanya wanita berkenaan dibenarkan masuk ke klinik bagi mengelakkan ramai orang dalam satu masa,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply