Input your search keywords and press Enter.

HUAWEI vs IPHONE, KONFLIK KETAMADUNAN

Selepas tamat Perang Dingin pada tahun 1990an, sarjana sains politik yang pernah bertugas di Jabatan Negara, Amerika Syarikat mengemukakan dapatan baharu mereka mengenai pergolakan dunia pada masa hadapan. Mereka mengeluarkan ramalan bahawa konflik dunia masa hadapan tidak lagi melibatkan krisis atau peperangan antara dua blok kuasa besar iaitu Amerika Syarikat vs Russia.

Persoalan besar yang perlu difikirkan oleh kita rakyat Malaysia ialah, apa yang kita rakyat Malaysia perlu lakukan? Kukuhkan perpaduan?, Meningkatkan kesedaran negara berperlembagaan, memperkuatkan hak sovereignity kita, memperkuatkan pertahanan dan meningkatkan daya ekonomi? Semua itu sangat penting, tetapi untuk memahami apa yang sedang berlaku di luar sana, eloklah kita mengetahui sedikit-sebanyak pergolakan dunia pada hari ini dan masa hadapan.

Konflik masa hadapan yang bakal berlaku ialah pertembungan tamadun utama dunia yang akan memberi kesan besar kepada negara-negara kecil seperti Malaysia. Contoh mudah pergolakan hari ini seperti perang Huawei vs IPhone, Minyak Sawit vs Minyak Soya/Jagung, Yuan vs Dollar dan sebagainya. Jika China dan India memperlahan membeli minyak sawit Malaysia dan Barat yang diketuai Amerika Syarikat memboikot minyak sawit, sudah pasti kesan besar kepada negara dan rakyat Malaysia bukan setakat daripada sudut ekonomi, tetapi juga daripada aspek sosial seperti pengangguran, jenayah dan ancaman keselamatan yang lain. Apakah persediaan kita sebagai rakyat Malaysia?

Sarjana seperti Profesor Samuel Huntington (1990) yang pernah bertugas di Jabatan Negara, Amerika Syarikat telah meramalkan akan berlaku konflik besar melibatkan tamadun Barat dengan tiga tamadun utama dunia iaitu China, India dan Arab (Islam). Salah satu ramalan mereka di sebelah Asia ialah akan berlaku konflik besar di negara-negara kecil Asia dan majoriti Islam seperti Mynmar, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia. Antara ramalan mereka pada tahun 1992 ialah dalam tempoh 30 tahun akan berlaku konflik besar di Russia-Ukraine, dan ternyata insiden yang melibatkan MH17 (2014) di Ukraine membuktikan ramalan itu. Sudah pasti ramalan itu beserta penyelidikan yang komprehensif.

Contoh lain, CNN pada bulan Januari, 2019 telah melaporkan pergerakan armada kapal perang Britain di Laut China Selatan. Beberapa hari kemudian, CNN melaporkan penyertaan armada Amerika Syarikat. Di selatan negara kita, isu terbaharu dengan Singapura kelihatan semakin menarik untuk diberi perhatian di mana insiden terbaharu kapal pengangkut berdaftar di Greece melanggar kapal Malaysia, MV Polaris. Ianya diviralkan oleh netizen bahawa pelanggaran itu didalangi oleh pihak-pihak tertentu di Singapura. Dalam hal ini, rakyat mesti mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pengurusan keselamatan negara kita yang diterajui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri. Pengalaman MKN dalam banyak operasi keselamatan seperti tragedi 13 Mei 1969, ancaman Komunis, Ops Piramid, MH17, pencerobohan Lahad Datu, pengurusan sempadan negara dan sebagainya telah memberikan kematangan kepada MKN dalam mengurus keselamatan rakyat dan negara kita.

Sarjana di Amerika Syarikat dalam kajian bertajuk ‘Nation-Building Military Occupations by the United States and Great Britain, 1850-2000, menyatakan kemerdekaan Malaysia (1957) adalah kejayaan sebuah pembinaan sebuah negara bangsa. Selepas 62 tahun, dasar luar Malaysia masih mengekalkan hubungan baik dengan semua negara demi memastikan keselamatan rakyat dan negara. Manakala konsep ZOPFAN, merupakan salahsatu idea masa yang terkehadapan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dalam usaha mengekalkan keselamatan Malaysia dan perairan Laut Cina Selatan. Walau bagaimanapun, geo-politik dunia kini telah berubah di mana tamadun-tamadun dunia yang besar telah bergerak pantas bukan sahaja daripada aspek ekonomi dan politik, tetapi jua dalam konteks teknologi dan ketamadunan. Mereka tidak lagi bercakap hal perlumbaan senjata, atau Demokrasi vs Komunis, tetapi kini mereka bercakap  hal-hal yang lebih besar seperti make America great again, manakala China berbangga dengan projek maha mega The Chinese Belt.

Persoalan seterusnya, apakah kita rakyat Malaysia tidak punya kemahuan untuk mengekalkan keamanan, perpaduan dan kemajuan yang sekian lama diusahakan?

DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI adalah penulis artikel ini. Beliau merupakan pengkaji dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan dengan minat terhadap usaha pembinaan negara, keselamatan dan patriotisme. Artikel-artikel beliau turut disiarkan di media-media tempatan seperti New Straits Times dan Malaysiakini.

Leave a Reply