Input your search keywords and press Enter.

‘Petugas Khas’ wajib vaksin dimuktamadkan bulan ini

M Update, 4/4/2019 – Laporan berhubung penubuhan pasukan petugas khas bagi merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan imunisasi vaksin di negara ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan, akhir bulan ini. Usaha itu sedang berjalan dan laporan (penubuhan) pasukan petugas khas akan dikemukakan kepada kementerian pada akhir bulan ini untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata sebaik laporan terbabit diterima, pihaknya akan memuktamadkan keputusan berhubung penubuhan pasukan petugas khas berkenaan. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) mengenai usaha kerajaan untuk mendidik golongan antivaksin dan bila penubuhan pasukan petugas khas akan dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Dr Boon Chye berkata, kementerian sentiasa berusaha memberi penerangan dan mendidik golongan antivaksin supaya mereka mendapat maklumat dan pemahaman yang sewajarnya. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata beliau sudah mengusulkan cadangan itu ke mesyuarat Kabinet dan semua langkah ke arah itu sedang dilaksanakan.

Media sebelum ini melaporkan satu pasukan petugas khas akan digerakkan Kementerian Kesihatan bagi merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan imunisasi vaksin di negara ini. Pasukan itu akan diketuai Bahagian Kawalan Penyakit dan Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga kementerian. – BH Online


Leave a Reply